PENGENALAN

Permainan dikir barat adalah suatu teater tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan dan Patani.Secara umumnya, tidak seperti teater tradisional lain, permainan ini lebih popular di kalangan masyarakat biasa daripada kalangan istana. Di dalam persembahan dikir barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang tukang karut dan tok juara (atau dikenali sebagai juara sahaja). Mereka akan mengarut sambil berbalas pantun dan diikuti oleh awok-awok sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Dikir barat boleh dipersembahkan sebagai hiburan ataupun pertandingan.Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat tani di musim menuai padi dan juga majlis perkahwinan serta berkhatan. Di samping itu, pertandingan sering diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan mahupun pihak tertentu untuk mengutip wang. Dikir barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional lain.Perkembangan teater ini amat unik kerana dikir barat sering berubah bentuk persembahan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman.
 

Perkataan dikir adalah hasil dari kombinasi dua perkataan, iaitu dikir dan pantun atau dikir dan karut.Pengertian karut itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi dikir barat, dikir karut, dikir pantun dan dikir syair merujuk kepada perkara yang sama. Walau bagaimanapun, di Kelantan permainan ini lebih dikenali sebagai dikir barat dan di Patani sebagai dikir karut.

ASAL-USUL

a) Dikir Barat Berasal dari Patani
Beberapa pendapat telah diperkatakan tentang asal usul dikir barat. Setengah pendapat mengatakan permainan ini berasal dari Patani. Sebenarnya dikir barat, yang lebih terkenal dengan nama dikir karut, dibawa dari Patani. Mengikut orang-orang Kelantan perkataan barat ini bermakna Patani.
Ini tidak dapat dinafikan kerana pada satu ketika dahulu negeri Kelantan pernah diperintah oleh kerajaan Siam. Rakyat dari kedua-dua buah negeri ini sering berulang-alik dan secara tidak langsung dikir dibawa ke sana dan diterima pula oleh masyarakat di situ. Ketika dibawa ke Kelantan, dikir barat adalah dalam bentuk dikir dan di sana permainan ini telah ditambah dengan pantun, diubahsuai dari segi persembahan serta loghatnya sesuai dengan keadaan sekeliling dan suasana tempatan.

b) Dikir Barat Berasal dari Pulau Kerengga
Mengikut keterangan yang diberikan oleh Nik Abd. Rahman bin Nik Dir (Pak Nik Man) dikir barat berasal dari Pulau Kerengga iaitu satu daerah di dalam jajahan Narathiwat di selatan Siam. Seorang yang bernama Pak Sa berasal dari Pulau Kerengga telah masuk ke Kelantan dalam tahun 1931 dan telah ditangkap oleh Pak Nik Man sendiri ketika bertugas sebagai pegawai kastam.Pak Sa telah masuk tanpa pasport dan menyeludup barang.
Pak Sa telah ditangkap dan dipenjarakan tetapi setahun kemudian beliau telah memperkenalkan dikir barat kepada orang-orang Kelantan. Oleh kerana beliau berasal dari Pulau Kerengga maka timbullah pendapat yang mengatakan dikir berasal dari sana.

c) Dikir Barat Berasal dari Ilham Budak-Budak Penjaga Lembu

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa dikir barat berasal dari permainan budak-budak yang menjadi gembala lembu di padang rumput. Pada tahun 1930-an terdapat ramai pencuri lembu berkeliaran di padang rumput. Oleh kerana ketakutan budak-budak penjaga lembu ini duduk berkelompok dan berdikir beramai-ramai.
Mereka akan menyanyi dan berpantun sambil sindir-menyindir sesama mereka untuk menghibur hati dan melupakan perasaan takut terhadap perompak tadi. Dari peristiwa inilah timbulnya permainan dikir barat.
 

d) Dikir Barat Berasal dari Pulau Tebu

Ada orang mengatakan bahawa dikir barat berasal dari Pulau Tebu kerana pengasasnya ialah Husain Mok Nah Lombong yang berasal dari kawasan tersebut.Sewaktu beliau memperkenalkan dikir barat ramai menganggap permainan ini sebagai satu hasil seni yang baru sebab iramanya boleh disesuaikan dengan irama yang telah sedia ada seperti rebana besar.

e) Dikir Barat Berasal dari Ciptaan Mat Leh Tapang
Bila memperkatakan dikir barat nama Mai Leh Tapang tidak boleh dilupai kerana ramai orang mengenali beliau melalui dikir barat. Mat Leh Tapang atau nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Haji Ahmad berasal dari Kampung Tapang. Beliau telah mengakui bahawa dikir barat ini sebenarnya berasal dari Patani. Beliau telah mengubahsuaikan permainan ini dengan memasukkan pantun. Jadi, pada awalnya dikir barat yang dibawa ke Kelantan itu masih lagi dalam bentuk dikir tanpa pantun.

Dipercayai bahawa Dikir barat diperkenalkan di Tanah Melayu mulai tahun 1930 oleh Tuan Haji Mat Salleh b. Haji Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Mat Salleh Tape atau (Mat Leh Tape). Gelaran Tape dihujung namanya adalah panggilan mengikut nama sebuah kampung iaitu Tapang. Kemungkinan juga kebudayaan ini diasaskan beliau di Kampung Tape.Semasa pemerintahan Jepun, Datuk Menteri Kelantan pernah memanggil beliau untuk meriwayatkan sesuatu dengan cara berpantun.Pada zaman itu juga terdapat sebuah kumpulan dikir yang diketuai oleh Jaffar Wakaf Mek Zainab yang memperkenalkan dikir barat di kampungnya.Awok-awoknya terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam).Mereka mendendangkan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Mat Leh Tapang pula berperanan menggubah serta menambah dikir tersebut dengan pantun untuk menyedapkan lagi dikir barat.

PERSEDIAAN SEBELUM BERMAIN

Bermacam-macam persediaan perlu dilakukan sebelum pertunjukan dikir barat dapat dipersembahkan di hadapan khalayak.

a) Menempah Tukang Karut dan Juara
Jikalau sesuatu pertunjukan dikir barat itu dianjurkan oleh sesebuah badan terpulanglah kepada penganjur tersebut untuk menempah tukang karut dan juara yang sesuai. Awok-awok tidak payah ditempah kerana setiap juara sudah mempunyai awok-awok sendiri. Selalunya penganjur mahukan tukang karut dan juara yang popular. Penganjur boleh menempah tukang karut dan juara sama ada secara formal atau sebaliknya iaitu di rumah tukang karut sendiri, melalui orang tengah, di tempat pertunjukan ataupun di mana sahaja mereka dapal berjumpa.
b) Mendapat Kebenaran Bermain
Satu lagi tugas penganjur ialah mendapatkan kebenaran pertunjukan dari pihak berkuasa seperti penghulu, penggawa, pegawai polis dan ketua jajahan / daerah.

c) Menampal Iklan-Iklan dan Poster

Iklan-iklan ditampal, disebar dan didedahkan di sekitar kawasan kampong dalam bahasa atau loghat daerah.Walau bagaimanapun pengumuman melalui pembesar suara sangat popular. Pihak penganjur akan pergi ke kampung-kampung yang berdekatan pada waktu petang sebelum pertunjukan itu dan turut memberi tahu bahawa permainan tersebut akan diadakan di kampung yang tertentu pada waktu lain.Di antara pengumuman tersebut berbunyi begini :
Jage lupa adik kakak ini mala dikir barat
di pade sekolah Alo Bakat denge
tuke karutnya mat Yeh de Sudin: Tok Joranya
Ripin ana denge Daud Bukit Abal serta penyanyi
wanita Che Esah Sayonara de
Zaleha Gula Batu
Datela berghama-ghama

d) Tempat Bermain
Permainan dikir barat dimainkan di atas pentas. Biasanya, bentuk pentas dibina mengikut corak permainan sesebuah dikir barat.
i. Bangsal atau Pentas Untuk Pertunjukan Percuma

Jika permainan ini dipertunjukkan dihari perayaan atau majlis perkahwinan maka bangsal atau pentas didirikan setinggi 4 kaki.Pertunjukan ini percuma dan semua penonton dapat melihat dari jauh.Bangsal ini biasanya diperbuat daripada buluh berlantaikan papan dan beratapkan daun kelapa.
ii. Bangsal atau Pentas Untuk Pertunjukan Yang Dikenakan Bayaran
Kadang kala terdapat juga penganjur yang mengadakan permainan ini dengan tujuan mengutip wang. Penonton dikenakan bayaran masuk. Kedudukan pentas pertunjukan ini amat rendah. Oleh itu, hanya orang yang masuk ke kawasan panggung sahaja dapat melihat pertunjukan. Pentas ini berlantaikan papan dan beratapkan daun kelapa dan dibina di tengah-tengah padang yang dikeliling oleh pagar yang juga diperbuat daripada daun kelapa.

AHLI-AHLI KUMPULAN
Setiap pasukan dikir barat mempunyai seorang tukang karut, seorang juara dan beberapa orang awok - awok (selalunya antara 15-30 orang).

a) Awok - awok
Awok - awok adalah sekumpulan orang yang berdikir dalam permainan dikir barat. Kebiasaannya awok-awok terdiri dari muda-mudi belasan tahun (tetapi mereka tidak pernah bercampur) dan kerana faktor usia inilah orang menamakan mereka sebagai budak-budak dikir. Pada praktiknya orang dewasalah yang lebih ramai menjadi awok-awok. Awok-awok menyanyikan korus sambil duduk dalam kedudukan secara bulatan.
Gelaran awok-awok ini mengambil sempena dari nama kumpulan orang-orang nelayan yang turun ke laut dalam sebuah perahu di bawah jagaan seorang ketua dipanggil sebagai jeragan dan keadaan ini disesuaikan dengan pelakon awok-awok dalam permainan dikir barat yang di bawah jagaan ketua mereka iaitu juara. Tugas awok-awok ialah mengikut atau mengulangi secara beramai-ramai. Seni kata lagu yang didendangkan oleh juara dan tukang karut mereka. Sebenarnya, awok-awok melahirkan suara latar atau korus bagi permainan dikir barat.
b) Juara (Tok Juara)
Juara merupakan orang yang kedua penting dalam satu pertunjukan dikir barat.Tugasnya ialah berdikir sebelum tukang karut mengarut.Pada waktu tertentu juara juga terpaksa mengarut iaitu sewaktu menunggu ketibaan tukang karut (biasanya di awal permainan) tetapi karutnya tidak panjang. Juara tidak menyanyi tetapi berdikir sambil duduk di sepanjang masa permainan. Tukang karut pula mendendangkan karutnya sambil berdiri dan menari. Suara juara yang baik dan merdu boleh menaikkan semangat tukang karut dan awok-awok pasukannya. Tema yang dibawa oleh juara selalunya menjadi panduan kepada tukang karut untuk mengarut kerana selepas juara berdikir tukang karut akan mengarut pula.




posted by: arjunasukma.com (reply)
post date: 01.16.09 (10:04 pm)

terima kasih kerana menyediakan info dikir barat seperti di atas. semoga dapat membantu para pelapis baru dikir barat.



posted by: as (reply)
post date: 07.16.10 (11:57 pm)

walaupun brada negeri luar tp seni budaya kelate xkulupa



posted by: Derex (reply)
post date: 10.27.11 (1:23 am)

Haha, shouldn't you be charging for that kind of knoweldge?!

Your Name:


Your Comment: