Pengenalan

Negeri Jepun telah tewas dalam Perang Dunia Kedua. Pendudukan Amerika selama 6 ½ tahun telah bermula secara rasmi pada 2 September 1945 dan berakhir pada 28 April 1952. Pada teorinya, pendudukan tersebut adalah bersifat antarabangsa. Satu perjanjian yang dicapai di Moscow pada bulan Disember 1945 telah menetapkan bahawa pendudukan di negeri Jepun harus ditentukan oleh dua badan, iaitu Suruhanjaya Timur Jauh (Far Eastern Commission) dan Majlis Berikat (Allied Council). Suruhanjaya Timur Jauh diwakili oleh 13 buah negara dan beribu pejabat di Washington manakala Majlis Berikat diwakili oleh 4 buah negeri dan beribu pejabat di Tokyo. Pada akhirnya, pendudukan tersebut telah dilaksanakan oleh Amerika Syarikat melalui Jeneral Douglas MacArthur yang telah dilantik Pemerintah Agung Kuasa-kuasa Berikat (Supreme Commander for the Allied Powers – SCAP). Pada bulan April 1951, Jeneral Douglas MacArthur telah diganti oleh Jeneral Matthew B. Ridway. Dasar pendudukan Amerika adalah berasaskan kepada 2 prinsip utama, iaitu keperluan membubarkan angkatan tentera Jepun (demilitarization) dan menjadikan Jepun sebuah negara yang demokratik (democratization of Japan). Pada keseluruhannya, pendudukan Amerika di negeri Jepun telah berjaya dan diterima baik oleh rakyat Jepun. Ia telah membantu negeri Jepun memulihkan ekonominya dan mengamalkan sistem kerajaan berparlimen. Pada 8 September 1951, Amerika Syarikat dan 47 buah negara lain telah menandatangani satu perjanjian perdamaian dengan negeri Jepun di San Francisco. Melalui perjanjian ini, Jepun mencapai semula kemerdekaannya pada 28 April 1952 tetapi terpaksa menggugurkan segala tuntutan ke atas bekas koloni-koloninya.

Kesan-kesan Pendudukan Amerika

1. Pembubaran angkatan tentera

Salah satu tugas utama SCAP ialah untuk membubarkan angkatan tentera Jepun. Ini adalah untuk memastikan bahawa negeri Jepun tidak akan lagi mengancam keamanan dan keselamatan dunia. Jentera perang Jepun telah dimusnahkan. Angkatan tentera Jepun dan kira-kira 1300 buah persatuan nasionalis lampau telah dibubarkan. Kilang-kilang membuat senjata telah ditutup. Peperangan diharamkan. Semua tentera dan orang awam Jepun di seberang laut yang berjumlah kira-kira 3 juta telah dibawa balik ke negeri Jepun. Pembicaraan orang Jepun yang dianggap penjenayah perang telah diadakan. 7 pemimpin Jepun termasuk Tojo telah digantung dalam bulan Disember 1948. SCAP telah juga menyingkirkan kira-kira 200000 orang pegawai tentera, kerajaan dan pemimpin perniagaan yang dipercayai terlibat dengan dasar perluasan negeri Jepun.

2. Pengenalan unsur-unsur demokrasi

Pengenalan unsur-unsur demokrasi merupakan kesan terpenting pendudukan Amerika. Satu perlembagaan demokratik baru telah diperkenalkan pada tahun 1947. Negeri Jepun telah mengamalkan semula sistem kerajaan berparlimen dengan keunggulan Diet. Diet yang terdiri dari Dewan Rakyat dan Dewan Councillor dijadikan organ kuasa negara yang tertinggi dan organ perundangan yang tunggal. Diet juga diberi kuasa penuh ke atas hal-hal kewangan. Kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Councillor merupakan badan terpilih. 467 orang ahli Dewan Rakyat adalah dipilih bagi tempoh 4 tahun manakala 250 orang ahli Dewan Councillor adalah dipilih bagi tempoh 6 tahun. Semua rakyat Jepunyang berumur 20 tahun dan ke atas mempunyai hak mengundi. Perlembagaan baru tersebut juga mensyaratkan bahawa Perdana Menteri Jepun harus dipilih daripada kalangan ahli Diet. Majoriti menteri-menteri kabinet juga merupakan ahli Diet. Kuasa kerajaan pusat telah diagihkan dan pilihanraya tempatan digalakkan. Pihak-pihak berkuasa tempatan diberi kuasa yang lebih dalam hal-hal cukai dan perundangan. Kementerian Dalam Negeri yang menguasai polis dan pentadbiran tempatan telah dibubarkan. Perlembagaan baru ini telah menjamin hak-hak asasi seperti persamaan dari segi undang-undang, kebebasan pemikiran, kebebasan akhbar dan hak-hak suami dan isteri yang sama. Orang tahanan politik dibebaskan. Perlembagaan baru Jepun telah juga mengubah kedudukan Maharaja Jepun yang telah dianggap sebagai suci dan “inviolable”. Maharaja Jepun dijadikan hanya lambing negara dan perpaduan rakyat Jepun. Baginda tidak lagi mempunyai sebarang kuasa berkaitan dengan pentadbiran negara. Kerajaan Jepun telah menjadi sekular.

3. Pemulihan ekonomi

Pemulihan ekonomi merupakan kesan jangka pangjang pendudukan Amerika yang penting. Beberapa pembaharuan ekonomi yang bertujuan menggalakkan pembahagian pendapatan yang lebih luas di kalangan rakyat Jepun telah diperkenalkan. Pihak berkuasa pendudukan telah melaksanakan satu program pembaharuan tanah yang bertujuan menambahkan pemilikan tanah oleh petani-petani. Melalui Akta Pembaharuan Tanah 1946, pihak berkuasa pendudukan telah membeli tanah-tanah kepunyaan tuan-tuan tanah tidur (absentee landlords). Tanah-tanah ini kemudiannya dijual dengan harga rendah kepada petani-petani. Program tersebut tamat dilaksanakan pada tahun 1950 dan telah membolehkan 3 juta orang petani memperolehi tanah seluas 5 juta ekar. Ia juga berjaya menstabilkan ekonomi luar bandar. Pihak berkuasa pendudukan telah juga mengambil langkah-langkah untuk menghapuskan monopoli ekonomi negeri Jepun oleh golongan zaibatsu. 83 buah syarikat induk zaibatsu telah dibubarkan. Harta-harta zaibatsu telah dibekukan. Ahli-ahli keluarga dan eksekutif zaibatsu telah disingkirkan. Pihak berkuasa pendudukan telah menggalakkan penubuhan kesatuan-kesatuan sekerja. Akta Kesatuan Sekerja 1945 telah memberi pekerja-pekerja hak mogok dan berunding secara kolektif. Bilangan ahli kesatuan sekerja telah meningkat dengan pesat. Menjelang tahun 1949, kira-kira 6.5 juta orang pekerja telah menyertai kesatuan sekerja. Dasar ekonomi pihak berkuasa pendudukan telah berubah selepas tahun 1948. Akibat Perang Dingin antara dunia Barat dan Timur, langkah-langkah telah diambil untuk mengukuhkan negeri Jepun sebagai sekutu dunia Barat untuk menentang Komunisme. Pembayaran ganti rugi perang oleh negeri Jepun telah dihapuskan. Amerika Syarikat telah memberi bantuan ekonomi dan mempergiatkan langkah-langkah untuk memulihkan ekonomi negeri Jepun. Perdagangan eksport negeri Jepun telah digalakkan.

4. Penyusunan semula sistem pendidikan

Pihak berkuasa pendudukan telah menyusun semula sistem pendidikan Jepun dengan berasaskan model Amerika Syarikat. Prinsip-prinsip yang mempengaruhi penyusunan semula pendidikan Jepun ialah demokrasi, kebebasan, pengagihan kuasa pusat, pendidikan massa, kepelbagaian dan internasionalisme. Pendidikan wajib dari 6 tahun ke 9 tahun. Kursus-kursus lama mengenai etik yang telah menggalakkan perkembangan faham ketenteraan telah digantikan dengan kursus-kursus sains sosial. Pentadbiran pendidikan diletakkan di bawah kerajaan tempatan. Beberapa universiti telah ditubuhkan di peringkat prefecture. Buku-buku teks telah ditulis semula dan kaedah-kaedah pengajaran baru diperkenalkan. Penekanan dalam buku-buku teks diberi ke atas aspek demokrasi dan hak-hak individu.

Negeri Jepun selepas pendudukan Amerika

Pendudukan Amerika telah merintis jalan bagi perkembangan-perkembangan politik, ekonomi dan sosial yang penting di negeri Jepun. Pada keseluruhannya terdapat kestabilan politik di negeri Jepun yang tetap mengamalkan sistem kerajaan berparlimen. Parti Liberal Demokratik telah muncul sebagai parti yang paling penting dan berpengaruh. Menjelang pertengahan tahun-tahun 1950-an, negeri Jepun telah mencapai semula paras ekonomi sebelum perang. Dalam tahun-tahun 1960-an pula, ia telah muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi yang utama di dunia. Pendapatan per kapita negeri Jepun telah meningkat dari $146 pada tahun 1951 ke $395 pada tahun 1960 dan melebihi $2000 pada tahun 1972. Perkembangan ekonomi negeri Jepun yang pesat adalah disebabkan oleh faktor-faktor berikut:

a.Pekerja-pekerja Jepun yang rajin, terpelajar dan mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi.

b.Perbelanjaan ketenteraan yang rendah iaitu hanya 1% daripada Keluaran Negara Kasar (Gross National Product).

c.Kadar wang simpanan yang tinggi.

d.Perlindungan perusahaan Jepun dari persaingan asing.

e.Sokongan dan bantuan Kerajaan Jepun yang seringkali diperkatakan

sebagai “Japan Incorporated”.

Bilangan penduduk Jepun di kawasan-kawasan bandar telah bertambah dengan pesat. Satu kelas pertengahan yang baru telah muncul. Masyarakat Jepun semakin dipengaruhi oleh kebudayaan Barat. Kadar pertumbuhan pendudukan Jepun telah merosot. Pergaulan antara lelaki dan wanita telah menjadi lebih bebas. Perasaan “kekitaan” masuh kuat di kalangan orang Jepun. Dasar luar negeri Jepun adalah berasaskan pada hubungan yang erat dengan Amerika Syarikat dan prinsip susunan dunia perdagangan yang aman dan terbuka. Menjelang tahun 1980, negeri Jepun telah muncul sebagai kuasa ekonomi yang ketiga terbesar (selepas Amerika Syarikat dan Rusia) di dunia.




posted by: wahee (reply)
post date: 01.14.09 (7:54 pm)

Assalamualaikum..
menarik artikel ni..tp ade tak info mengenai perkembangn jepun..



posted by: amirul (reply)
post date: 05.14.09 (11:06 am)

ape dasar kerajaan jepun?



posted by: ismazinda (reply)
post date: 07.17.09 (1:46 am)

macam mana pembahagian politik jepun




posted by: mummy (reply)
post date: 07.20.09 (12:27 am)

oky..tapi nak tnya sket.ada tak info tuk keiretsu?



posted by: fardeana (reply)
post date: 07.28.09 (8:01 pm)

ade x pasal perkembangan politk jepun sebelum n selepas pembaharuan



posted by: Brendy (reply)
post date: 10.28.11 (3:32 am)

Kewl you should come up with that. Excellnet!



posted by: Dhesi (reply)
post date: 08.30.12 (2:03 pm)

How I really wish that was me. Playing alodisgne the Man United lads even it's only in the ads would have been great enough for me. Hahaha.[] Reply:October 13th, 2011 at 7:51 pmSpeaking like a true United fan =D[]

Your Name:


Your Comment: