Adakalanya mereka seperti ibu menyaji kasih, menghidang sayang adakalanya mereka seperti anak ingin dibelai, minta dimanjakan adakalanya mereka seperti nenek berleter seadanya, merungut semahunya.
Namun,
merekalah insan yang terhampir teman kembara dalam kehidupan yang sementara ini. Bahagia dan derita kita sangat berkait dengan mereka.
( i )
Psst....
Tiba-tiba isteri merajuk
pandai-pandailah memujuk
buka telinga, tajamkan pendengaran, amati suaranya teliti dengan hati yang terseni rasional atau emosi ?
andainya emosi, belailah emosi itu
jangan cuba dihadapkan secara rasional kerana sidia tak akan terdaya mengunyah hujah,berilah walau seribu sebab lengkap dengan perangkaan statistik atau dokumen saintifik berserta dengan beberapa affidavit dia tetap melulu kerana fikiran sudah berjerebu.
Dalam situasi ini
fikiran telah ditawan perasaan
sebaiknya, perhaluskan kata, perindahkan bahasa jinakkan perasaan, hadiahkan senyuman
Masih gagal ?
cuba gunakan sentuhan
semarakkan belaian
Masih gagal juga ?
Tunggu saja rajuknya reda,
emosi isteri bagai riak-riak air dalam cawan, jangan digoncang...... buat selamba. Lambat laun, gelombang akan tenang. Air dicawan akan dapat kita minum jua
Tapi awas.....
kalau ternyata, rajuknya berfakta
masamnya berdata, geramnya berilmiah. Marahnya ada prima facie
ini rajuk taraf tinggi namanya
perlu ditangani berhati-hati kalau ternyata benar,apa salahnya kita terima, mengaku lalu berjanji serta berikrar
" Sayang abang tak ulang lagi "
katakan " Sayang....abang alpa "
bisikkan " Darling.. I lupa.."
hulurkan tangan, pinta kemaafan pendekatan kasanova, tapi hati suci.
Rajuk isteri seperti mangga muda perisanya masam
tetapi...
kalau kena cicahnya
enaknya akan terasa.
ingat, api yang panas, padam oleh salji yang dingin
( ii )
Arghh...
tiba-tiba isteri merungut
malah kadangkala agak mengugut
minta aksesori serta perabut
minta Villa yang tersergam indah
atau mahligai di lereng bukit
sedangkan kita bukan Shah Jehan
yang mampu membina Taj Mahal buat isterinya tetapi isteri pula, persis Nur Jehan yang meminta petanda keagungan cintanya
Katanya " Seabadi permata.... segermelapan intan " ...
sedangkan ditangan kita cuma cincin tembaga
Aduh...
peritnya mengukur cinta,
dalam ukuran mayam atau menimbang setia,
menerusi Bursa Saham papan utama
kasih isteri, turun naik mengikut kadar tukaran wang asing
Tiada guna menyesali diri,
diakan dulu pilihan kita ?
semasa mekarnya dia dihargai, dipuja-puji,
dia kini sudah menjadi ibu pada anak-anak kita,
sudah takdir...permata yang dipilih
perlu digilap semula
Namun
putus asa jangan sekali,
terimalah dia, dengan redha.
justeru isteri pada hakikatnya
adalah bayang-bayang suami
wanita adalah tulang rusuk yang bengkok.

Katakan RM bukan segala-galanya   ;lalu pada saat yang kudus
setelah bersolat bersama bisikkanlah " Duhai isteriku...
marilah kita bina perkahwinan ini dengan cinta yang sejati,
marilah kita kutip rezeki dengan keringat tersuci, kita cari harta, tetapi itu bukan segala-galanya. Padamu isteri, istanamu, di hati ini padamu sayang kalung cintamu, di jiwa ini."
( iii )
Puuuh...
Akan tiba masanya bila 'isteri' di hati tapi kurang di mata
usia meningkat kecantikan tergugat dulu yang kita lihat mulus kini beransur pupus betis, tidak lagi bunting padi
pipi, bukan lagi pauh dilayang apakah dengan itu akan berkurang cinta kita ?
Jika berkurang, nyatalah cinta kita selama ini cinta di mata bertapak di body tapi jika cinta tetap kekal malah semakin bertambah ertinya cinta kita di hati, berpasak di budi. Itulah cinta sejati Namun tidak salah di samping menyanjung budi, kita merampingkan 'body' kalau ada kesempatan ajaklah dia bersenam, amalkan puasa sunat tapi ingat niat kerana Tuhan bukan kerana ingin kuruskan badan tapi Tuhan Maha Penyayang, Dia pasti membantu isteri yang memburu keredhaan suami tak salah kalau mohon kesihatan, kecantikan dan kecergasan sama-samalah merampinkan badan yang terlebih dikurangkan jangan sesekali mencemuh apa lagi membandingkan isteri dengan perawan
Bukan masanya lagi merenung dara tapi kini saat menghitung dosa lalu ajaklah isteri sama-sama menambah bakti moga-moga cinta kita kekal ke hujung usia di dunia ini dan di akhirat nanti itulah yang dikatakan hidup berdua, 'selepas' mati pun bersama

(iv)Uhhh....Kekadang isteri mengamuk dengan ombak prasangka dan taufan cemburu. Apa bukti setiamu suami ?
Apakah tandanya hanya aku di hatimu? Kekadang disergahnya kita ketika keringat masih membasah baru menjengah pintu rumah.Ketika itu nilailah diri mungkin kita berdosa dengan Tuhan atau bersalah dengan insan mungkin banyak kezaliman dan penganiayaan yang telah kita lakukan.
Lalu datang teguran, amaran dan peringatan secara 'indirect' dari Tuhan hadapkanlah diri ke cermin hati kaji diri satu persatu kalau liar, berhentilah kalau berdosa, bertaubatlah .Sebaliknya jika ternyata isteri yang melulu nasihatkanlah baik-baik bukan senang nak senang ingatlah mustika kata dalam kitab-kitab tua.
suami yang bersabar dengan isteri yang jahat akan mendapat pahala Nabi Ayub atau ingatlah pesan SayidinaUmar al-Khattab ketika didatangi seorang suami yang dileteri isteri :
" Bersabarlah, kerana sesungguhnya isteri telah banyak membantu kita. Dia yang menyelamatkan kita daripada amukan nafsu. Dia yang membantu menjaga makan minum kita. Dia yang mencuci kain baju kita Dia yang membantu membersihkan rumah kita...
lalu apa salahnya kita bersabar dengan sedikit kerenahnya ? "
( v )
Marilah sama-sama kita tabur secubit salji pada segenggam api. Telah banyak kita dengar cerita keruntuhan, kisah perpisahan. Marilah kita suburkan kembali pohon perkahwinan ini walaupun sudah berdekad-dekad usianya .Institusi ini adalah kubu terakhir kita.
renungan bersama.....